Home & living

Tips Dan Panduan Membeli Rumah Pertama Anda Wajib Tahu

By 28/04/2016October 4th, 2021No Comments

Pengenalan

Dari kejiranan mewah di Subang Jaya dan Bukit Tunku sehingga ke bukit menghijau di Semenyih dan Banting, kita dimanjakan dengan kepelbagaian pilihan dalam mencari kediaman idaman.

Saban minggu kawasan kejiranan baru tumbuh ibarat cendawan selepas hujan dan setiap satu daripadanya diberi nama yang mewah digabung dengan nombor rawak, membuatkan kita tertanya-tanya bagaimana para pemaju mempunyai masa untuk memikirkan nama-nama baharu untuk menghiasi kediaman yang dibina mereka.

Mudah sekali untuk pembeli kali pertama termakan dengan iklan yang gah di dalam akhbar, alam maya dan juga papan iklan. Maka, adalah penting bagi pembeli yang berpotensi untuk melengkapkan diri dengan maklumat yang betul dan pengetahuan yang membolehkan mereka untuk membuat keputusan yang bijak.

Keputusan yang dibuat secara ghairah dan terburu-buru semasa membeli hartanah boleh menjurus kepada kekusutan pada masa hadapan.

Dengan pembinaan pelbagai perumahan baru, bakal pemilik rumah harus mengambil kira pelbagai faktor dalam membuat pembelian hartanah.

Di dalam artikel ini, kita akan menganalisis pelbagai faktor seperti lokasi, pembiayaan, keadaan ekonomi dan pasaran, pengubahsuaian dan akhir sekali proses pindah masuk.

Di bahagian berikut, kita akan mendalami setiap faktor secara satu per satu dan menghuraikan fakta-fakta penting yang terkandung.

1.0) Pembiayaan

Anak-anak memerlukan tempat bermain yang selamat, sang suami memerlukan tempat peribadi untuk aktiviti riadahnya, sang isteri mahukan kediaman di tempat tersohor. Tetapi, jangan lupa keluarga mertua juga mahu menziarah pada hujung minggu. Tetapi sebelum mempertimbangkan langkah pertama sekalipun, anda perlu memastikan bahawa anda mampu untuk membeli sebuah rumah.

“Duit! Duit! Di mana kau duit. Duit! Duit! Hutangku membukit.”

Ibarat lagu yang nostalgia daripada kumpulan Kembara, duit mengerakan dunia, tidak pernah cukup bagi yang mencari dan mendamba. Usah berasa gundah gulana, kami di TheLorry, kami memahami kepayahan yang dihadapi semua yang berada dalam keadaan ini. Jadi, sebelum memulakan langkah, tenangkan diri dan ikut sahaja garis panduan mudah ini.

i) Pinjaman Bank

Anda mungkin baru sahaja mendirikan rumah tangga atau barangkali anda sudah mempunyai anak-anak. Melainkan anda adalah Mark Zuckerberg, Steve Jobs atau Bill Gates atau anda mempunyai ratusan ribu ringgit dalam simpanan, kemungkinan besar anda perlu mendapatkan pembiayaan daripada bank atau pembiayaan daripada bank “FaMa” atau “Father, Mother”.

Bukan FAMA yang ini tau!

Secara realistiknya, pembeli rumah amnya akan mendapatkan pinjaman daripada bank apabila membuat keputusan untuk membeli rumah. Kebanyakan bank akan mengambil kira beberapa faktor seperti umur, pendapatan, pekerjaan dan laporan kredit anda dalam memutuskan pemohonan pinjaman anda.

Kadar faedah untuk pinjaman perumahan yang ditawarkan oleh bank di Malaysia selalunya pada kadar 4.45% sehingga 4.55%. Mungkin anda akan tertarik dengan bank yang menawarkan kadar faedah yang terendah. Tetapi, harus berhati-hati kerana kadar faedah yang lebih rendah juga bermakna kos tambahan di dalam bentuk caj pengurusan pinjaman. (Tidak menyangka ya bukannya semudah itu?)

Sesetengah bank menawarkan pelan pinjaman fleksibel yang memberi ruang penyesuaian dengan pemilik rumah seperti contoh bayar lebih atau bayar kurang ansuran bulanan mengikut keadaan kewangan semasa. Pada masa yang sama, ada bank yang tidak mengenakan caj memproses atau caj bulanan kepada peminjam. Usah segan silu dengan pegawai pinjaman anda dan pastikan anda bertanya sebanyak mungkin soalan yang boleh.

Lawati mana-mana cawangan bank pilihan anda, berjumpa dengan pegawai pinjaman mengenai pinjaman perumahan dan isi beberapa borang yang diberi. Pihak bank memerlukan anda untuk menyediakan dokumen seperti kad pengenalan dan slip gaji tiga bulan terkini.

Kemudian, pemohonan pinjaman anda akan diproses dan kelayakan kredit anda akan dinilai oleh pihak bank. Pastikan anda tiada sebarang pinjaman tertunggak yang mungkin anda “terlupa” untuk membuat pembayaran.

ii) Bayaran Pendahuluan

Anda sudah temui apartment idaman anda di lokasi yang sempurna. Akhirnya anda telah menemui kediaman yang dicari dan bersedia untuk membuat pinjaman dengan Bank ABC. Tetapi pada harga RM450,000, anda perlu menyediakan bayaran awal yang tinggi sebanyak RM45,000. Itulah yang dikenali sebagai bayaran pendahuluan.

Untuk pembelian hartanah, pihak bank hanya menyediakan pembiayaan sebanyak 90% daripada nilai hartanah tersebut. Itu bermakna, anda perlu membuat pembayaran awal sekurang-kurangnya 10% daripada nilai hartanah tersebut.

Soalan terus menerpa, bagaimana anda hendak mencari wang dengan jumlah sebegitu? Mungkin anda boleh sekali lagi membuat pinjaman dengan bank “FaMa”. Ataupun, anda boleh ke bank yang berlainan dan membuat pinjaman peribadi untuk menampung bayaran pendahuluan yang hanya membuatkan anda lebih terjerumus ke dalam menampung hutang yang lebih banyak.

Usah risau, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP mampu membantu anda. Pembeli rumah pertama dan kedua boleh mengeluarkan wang simpanan dari Akaun 2 untuk membiayai pembelian perumahan.

Untuk maklumat lanjut dan borang berkenaan boleh dilihat dan dimuat turun di laman sesawang berikut;

http://www.kwsp.gov.my/portal/ms/web/kwsp/member/withdrawal-to-purchase-a-house

iii) Caj, caj, caj dan caj tambahan lagi

Tetapi tunggu, ada lagi pembayaran yang harus anda ambil kira. Selain dari pembayaran pendahuluan, bakal pemilik rumah disarankan agar menyediakan pembiayaan tambahan untuk membiayai kos tersebut:

Kos Guaman Perjanjian Jual Beli

Caj Guaman:

%
RM150,000 yang pertama1
Nilai seterusnya sehingga RM1 Juta0.70
Nilai seterusnya sehingga RM3 Juta0.60
Nilai seterusnya sehingga RM5 Juta0.50
Nilai seterusnya sehingga RM7.5 Juta0.40
Duti Setem%
RM100,00 yang pertama1
Nilai seterusnya sehingga RM500,0002
Nilai seterusnya dan ke atas3

Sumber dari malaysianhousingloan.com

Jika kesemua di atas agak mengelirukan, usah risau. Kami telah menyediakan sebuah lagi jadual yang menjelaskan dengan lebih mudah bagaimana kos Perjanjian Jual Beli dan duti setem dikira mengunakan contoh sebuah apartment yang dinilai pada harga RM550,000.

Kos Perjanjian Jual Beli

Cara pengiraan jika harga hartanah adalah RM550,000
RM150,000 yang pertama @ 1%RM1,500
RM400,000 yang seterusnya @ 0.7%RM2,800
Jumlah caj guamanRM4,300

Duti Setem

Cara pengiraan jika harga hartanah adalah RM550,000
RM150,000 yang pertama @ 1%RM1,500
RM400,000 yang seterusnya @ 0.7%RM2,800
Jumlah caj guamanRM4,300

Jadi, (A)+(B)= RM14,800. Bermakna, selain daripada perlu membayar RM55,000 untuk bayaran pendahuluan, anda juga perlu menyediakan bayaran tambahan RM14,800 untuk kos guaman bagi peguam dan juga bank.

2.0) Pencarian

Bagi kebanyakan kita, membeli rumah dilihat sebagai langkah seterusnya dalam kehidupan. Kita membeli rumah kerana kita merasakan sudah sampai “seru”.

Membeli rumah barangkali bakal menjadi pembelian terbesar di dalam hidup anda yang anda telah letakkan diri di dalam posisi menampung beban hutang yang tidak boleh dipandang enteng. Namun begitu, hartanah kediaman juga boleh menjadi pelaburan yang boleh mendatangkan pulangan lumayan jika anda membuat keputusan yang bijak.

a) Lokasi, lokasi, lokasi

Adakah lokasinya ideal? Adakah terdapat sekolah berdekatan? Adakah sekolah berkenaan berprestasi tinggi? Akan adakah tempat pembuangan sampah di belakang rumah? Kediaman ini mempunyai masalah jenayah atau tidak?

Soalan sebegini mungkin remeh, tetapi kita harus melakukan sedikit kajian sebelum komited terhadap sesuatu pembelian. Ronda sekitar kawasan kejiranan berkenaan dan tanya kepada diri anda, adakah di kejiranan ini yang anda mahu anak-anak anda membesar? Adakah anda berasa selamat untuk memberi kebebasan kepada mereka untuk keluar dan bermain di kawasan tersebut?

Penanda aras yang boleh digunakan adalah kawasan kejiranan yang selamat dan berdekatan dengan sekolah yang mempunyai reputasi yang baik cenderung untuk kekal, atau malah meningkat nilai hartanahnya pada kadar yang lebih tinggi berbanding dengan kawasan kejiranan yang mempunyai kadar jenayah yang serius.

Lokasi tadika atau sekolah yang berhampiran boleh membantu anda menjimatkan kos penjagaan anak dan kos pengangkutan mereka. Bukan sahaja meringankan beban dompet anda, turut juga mengurangkan risiko tekanan darah tinggi! Bayangkan, anda sudah lewat ke tempat kerja dan terpaksa bergegas menghantar anak ke sekolah yang memakan masa 20 minit sambil mengharung kesesakan lalu lintas pada hari Isnin yang sibuk.

Pekara remeh usah kita ambil ringan seperti kemudahcapaian kawasan kejiranan anda. Ingat ya, kawasan pembangunan dengan laluan masuk dan keluar yang terhad boleh membawa kepada kesesakan lalu lintas. Walaupun kawasan sekelilingnya menarik dan harga juga berpatutan, tetapi cuba gunakan hujah tersebut sewaktu anda sudah lewat untuk temujanji dan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas di kawasan kediaman anda.

b) Jiran tetangga (Anda bukan sahaja membeli rumah, tetapi kejiranannya sekali) 

Akhirnya, anda jumpa apartment yang sempurna di lokasi yang sempurna. Semua kelihatan seperti yang dirancang, tetapi bila anda sedang mahu lena diulit mimpi:

Jiran yang menakutkan, makcik Bedah ahli mesyuarat tingkap, kaki “raver” tengah malam dan pelbagai jenis jiran yang menjengkelkan boleh membuatkan hidup di rumah baru umpama mimpi ngeri. Jadi, sebelum anda komited dengan sesebuah unit apartment mahupun rumah “corner lot”, lihat sekeliling kejiranan tersebut, bertanya pada beberapa jiran sekeliling dan tidak perlu malu untuk mengetuk pintu beberapa rumah. Anda mungkin akan terkejut akan maklumat yang anda boleh dapati.

Selain daripada jiran yang menakutkan, kehidupan di kawasan di mana suasana jiran tetangga yang harmoni akan membuatkan rumah anda lebih harmoni.

Hidup di kawasan kejiranan yang mesra dan harmoni akan banyak membantu anak-anak anda untuk menyesuaikan diri tinggal di tempat baru.

c) Nilai jualan semula

Hartanah adalah satu pelaburan yang akan meningkat naik nilainya dan memberikan pulangan pelaburan yang berpatutan. Kebanyakan pemilik rumah pertama gagal untuk mengambilkira nilai jualan semula kediaman mereka dalam tempoh 5 hingga 15 tahun kehadapan. Jika anda kurang bernasib baik, anda mungkin telah memilih kediaman di kawasan kejiranan yang mempunyai kadar kes pecah masuk yang tinggi, di mana mengurangkan nilai jualan semula pada masa akan datang.

Tetapi, jika anda telah melakukan kajian anda sendiri, anda mungkin terkejut dengan pulangan yang boleh diraih pada masa akan datang. Contoh utama adalah kediaman yang mempunyai kebolehcapaian yang baik, berdekatan dengan sekolah bereputasi dan terletak di dalam kawasan kejiranan yang selamat, mempunyai kecenderungan untuk meningkat naik nilainya pada kadar yang lebih tinggi.

d) Keadaan Kediaman Anda

Apabila meneliti rumah pertama anda, jangan lupa untuk mencuba fungsi setiap benda di dalam rumah tersebut. Ejen hartanah atau pemilik rumah mungkin merasakan ada benda yang tidak kena dengan anda. Tetapi, ingatkan diri anda bahawa jika rumah tersebut roboh, ianya akan roboh di atas anda!

Jadi, perhatikan pekara-pekara berikut:

1. Sistem perpaipan

Adakah kesemua paip berfungsi? Bagaimana pula dengan tandas? Adakah pam tandas berfungsi dengan baik? Ingat ya, pancuran air bukan pancuran namanya, jika hanya titisan air sahaja yang mengalir. Apabila anda membuka paip, adakah sebarang tanda kebocoran atau air bertakung di dalam rumah. Adakah air yang mengalir mempunyai warna atau bau yang aneh?

Warna air yang keruh adalah tanda paip berkarat dan mungkin memerlukan kerja membaikpulih yang menyeluruh pada keseluruhan sistem perpaipan.

Mengenalpasti sebarang tanda masalah yang berpotensi boleh menjimatkan anda dari mengeluarkan ribuan ringgit untuk kerja membaikpulih pada masa akan datang. Melainkan anda adalah seorang kontraktor atau tukang paip yang mempunyai banyak masa lapang.

2. Benda ini berfungsi atau tidak?

Masalah paling menelan belanja selalunya masalah yang tidak dapat dilihat. Kerja pendawaian dan elektrikal adalah antara masalahnya. Anda boleh membuat ujian mudah dengan membuka setiap suis di dalam rumah. Buka setiap lampu dan perkakas elektrik di dalam rumah. Adakah setiap satu berfungsi dengan baik? Atau, membuka kipas membuatkan soket televisyen meletup.

Sesetengah pemilik rumah mengambil jalan pintas dengan mengunakan khidmat kontraktor dan juruelektrik yang tidak bertauliah untuk membuat pendawaian di dalam rumah. Bukan sahaja ia merbahaya dan boleh menyebabkan puncak kebakaran, malah ia juga boleh menyebabkan anda perlu membelanjakan ribuan ringgit untuk melakukan kerja pendawaian semula.

Jadi seeloknya semasa meneliti kediaman baru, bawa sekali juruelektrik atau kontraktor yang dipercayai untuk memberikan nasihat dan bantuan.

Cat ataupun kertas dinding yang merekah atau mengelupas adalah tanda jelas bahawa rumah anda mempunyai masalah kebocoran air. Binaan kayu yang mereput adalah tanda lain yang menunjukkan penyelenggaraan yang kurang oleh pemilik lama.

3. Kerja Lanskap

Perlu diingat bahawa taman yang cantik memerlukan anda melaburkan masa dan usaha untuk menyelenggara taman tersebut. Jika anda belum bersedia untuk memberi komitmen, mungkin anda perlu memikirkan semula keputusan anda. Percayalah, anda tidak akan nampak pokok bunga kelihatan secantik apabila anda bermandi peluh, berkebun pada tengahari Ahad yang panas terik.

e) Lantik Peguam Hartanah Yang Bagus

Lupakan stereotaip bahawa semua peguam itu licik. Peguam hartanah yang bagus akan membantu anda untuk menguruskan segala dokumen dan perjanjian yang diperlukan untuk membeli rumah.

Melainkan anda mempunyai ijazah sarjana muda undang-undang dan anda pakar segala proses perundangan, kami sarankan anda untuk mendapatkan khidmat peguam hartanah yang boleh membantu meneliti proses pembelian rumah.

3.0) Membandingkan harga hartanah

Sebelum membuat sebarang keputusan, membuat perbandingan harga pasaran hartanah merupakan langkah yang bijak. Dengan pembangunan baru yang kian bertambah, pasti ada hartanah perumahan yang menawarkan harga yang menarik di pasaran.

1. Ruangan Iklan

Cara termudah untuk membuat kajian pasaran dengan sendiri adalah untuk menyemak ruangan iklan. Antara contoh baik adalah; Mudah.myThe Edge PropertyiPropertyPropertyGuru dan lain-lain.

Laman sesewang di atas menawarkan pengguna peluang untuk membandingkan harga hartanah di lokasi yang diingini. Jadi, dari terus membuat keputusan, kenapa tidak semak terlebih dahulu iklan yang dipaparkan. Laman sesawang ini boleh diakses oleh sesiapa sahaja dengan mengunakan telefon pintar mahupun komputer dengan capaian internet.

Jika anda sedang membaca artikel ini, kebarangkalian besar anda boleh terus mulakan perbandingan. Mengapa perlu tunggu?

2. Ejen Hartanah

Jika anda merasakan agak leceh untuk melakukan penyelidikan dengan sendiri, anda boleh mendapatkan khidmat ejen atau broker hartanah untuk lakukannya untuk anda. Carian Google boleh memaparkan kepada anda agensi ejen hartanah yang berdekatan dengan anda.

Ejen hartanah selalunya mampu memberikan nasihat mengenai harga hartanah terkini di pasaran. Tumpukan dalam membina hubungan yang baik dengan ejen anda kerana mereka mampu memberikan tip mengenai tawaran terkini di kawasan yang terhangat di pasaran.

Walau bagaimanapun, pembeli harus berwaspada kerana harga dari ejen hartanah mempunyai peratusan komisen mereka dan juga akan mengenakan caj bagi perkhidmatan yang diberikan. Jadi, pastikan anda mempunyai bajet tambahan dalam tangan jika memilih untuk mengunakan perkhidmatan ejen hartanah.

4.0) Memeterai Perjanjian

Peringkat terakhir yang ditunggu. Akhirnya selepas berbulan mencari anda akhirnya menemui rumah idaman anda. Apa yang perlu dilakukan adalah untuk membuat tawaran kepada si penjual. Kami tidak boleh mengajar anda bagaimana untuk berunding, tetapi peraturan asas adalah untuk berbudi bahasa dan berterus terang.

Selepas si penjual menerima tawaran anda, ikut langkah tersebut

1. Buat pemohonan pembiayaan pinjaman bank pilihan anda. Pihak bank akan melantik ejen pentaksir hartanah bebas yang akan menentukan nilai hartanah anda. Kebanyakan bank menawarkan pembiayaan sebanyak 90% daripada nilai hartanah tersebut. Maka, bersedia untuk mengeluarkan bayaran pendahuluan sebanyak 10% daripada nilai hartanah yang telah ditaksir oleh pihak bank. Seperti contoh, sebuah apartment bernilai RM450,000 memerlukan bayaran pendahuluan sekurang-kurangnya RM45,000.

2. Tandatangan surat tawaran pembiayaan.

3. Dapatkan khidmat peguam harta untuk membantu anda dalam proses guaman, lakukan carian geran berkaitan dan merangka dokumen seperti borang tawaran pembelian dan perjanjian pinjaman.

4. Tandatangan semua dokumen berkenaan.

5. Anda boleh mula merancang majlis meraikan rumah baru anda dan ambil kunci bagi kediaman baru anda.

5.0) Pindah masuk

Tahniah! Kini anda boleh berbangga menjadi seorang pemilik hartanah perumahan.

Anda telah mendapat kunci bagi rumah baru dan hanya tinggal untuk berpindah masuk sahaja. Namun begitu, anda barangkali tidak mempunyai sebarang idea bagaimana untuk mulakan proses tersebut. Anda boleh sahaja meminjam van saudara terdekat untuk memindah masuk barang dan perabot anda. Tetapi, mungkin barang anda terlalu banyak untuk sebuah van dan van tersebut kelihatan sebegini:

*Katanya ini kenderaan klasik. Katanya juga mileage nya memang terbaik.

Jadi, apakah langkah terbaik seterusnya? Seperti rakyat Malaysia yang lain, gunakan sahaja telefon pintar dan hubungi TheLorry dengan butiran perpindahan anda. Tanpa menunggu lama, mereka akan tiba di tempat anda dan bersedia untuk memindahkan kesemua barang anda dan membantu proses pindah masuk ke kediaman baru anda.

Oh ya, jangan lupa jemput untuk rumah terbuka anda.

Sharing is caring