Mungkin anda pernah terfikir bahawa anda boleh mengembangkan bisnes lori anda lebih jauh, dan mendapat peluang memperoleh pandapatan yang lebih.
Mungkin anda mahu menyediakan perkhidmatan pemindahan/penghantaraan barangan ke Singapura?
Jika ini yang anda inginkan, panduan lengkap ini boleh membantu anda membuat persediaan yang mencukupi untuk melakukan perkhidmatan cross border ke Singapura!
1. Sahkan kenderaan anda
Perkara pertama yang perlu anda lakukan jika ingin menyediakan perkhidmatan cross border adalah untuk dapatkan pengesahan untuk memasuki Singapura.
Bagaimana untuk dapatkan pengesahan? Anda perlu memohon Goods Vehicle Permit (GVP).
Contoh GVP yang perlu dilekatkan di cermin hadapan kenderaan.
Proses permohonan ini adalah sedikit leceh, kerana anda perlu ke Singapura terlebih dahulu untuk memohon terus kepada pejabat Land Transport Authority (LTA) di Sin Ming Drive. Borang permohonan GVP walau bagaimanapun boleh didapati di sini.
Untuk perhatian, caj yang akan dikenakan untuk memiliki GVP adalah sebanyak 40 Dollar Singapura sebulan, dan ia boleh dibuat dalam jangka masa lebih dari sebuan.
Jika anda berminat untuk ke Singapura untuk mendapatkan GVP, anda perlu juga menyediakan beberapa dokumen bersama;
- Sijil Insurans (asal dan salinan bersama cop “Certified True Copy” dan tandatangan rasmi dari syarikat insurans)
- Sijil Pemilikan Kenderaan (asal dan salinan)
- Kad Autopass (jika telah diberikan sebelum ini)
- Borang permohonan GVP (seperti disediakan di link di atas) atau PSVP (Juga disediakan di Pusat Perkhidmatan Pelanggan LTA)
- Gambar kenderaan menunjukkan nombor plat, pandangan sisi dan belakang dengan kesemua pintu kenderaan terbuka (untuk van sahaja)
Kad autopass yang menyerupai Touch N Go dari segi penggunaannya.
Selain daripada dokumen-dokumen di atas, anda juga patut mendapatkan In-Vehicle Unit (IU) semasa anda berada di. Singapura, kerana anda perlu menggunakannya untuk memandu di jalan ERP (Electronic Road Pricing) yang mengenakan caj selama anda di Singapura kelak.
2. Lantik forwarding agent anda
Jika anda telah berjaya mendapatkan GVP untuk kenderaan anda, kini masanya untuk mencari dan melantik forwarding agent anda!
Forwarding agent adalah ejen yg berurusan dengan kastam Malaysia dan Singapura berkenaan urusan import dan export.
Terdapat banyak syarikat penghantaran yang boleh membantu anda dari segi ini, anda hanya perlu cari di Google dan hubungi mereka.
Proses untuk anda melantik seorang ejen untuk membantu anda selalunya selama 3 hari bekerja.
3. Permulaan operasi cross border anda
Kini anda telah mengesahkan kenderaan anda untuk memasuki Singapura, dan telah juga anda melantik seorang forwarding agent untuk berurusan dengan kastam.
Kini masanya untuk anda memulakan operasi cross border anda, bukan? Sekejap! Ada beberapa perkara yang perlu anda tahu sebagai persediaan untuk anda mula menyediakan perkhidmatan rentas sempadan ini!
Import/Eksport Permit
Import/eksport permit adalah salah satu dokumen yang membolehkan anda import dan eksport barangan antara Malaysia ke Singapura, dan ia akan diuruskan oleh forwarding agent anda.
Anda perlu menyediakan pasport asal dan salinan bersama senarai barangan untuk mengeksport dari Malaysia ke Singapura.
Lebih dokumentasi akan diperlukan jika anda ingin mengimport barangan dari Singapura ke Malaysia, di mana anda perlu menyediakan pasport, kad pengenalan MyKad, dan mana-mana bil utiliti dengan alamat Malaysia.
Commercial Invoice
Commercial Invoice adalah sebuah penyata yang menyenaraikan barangan dalam muatan kenderaan anda dengan teliti.
Ia, bersama import/eksport permit membolehkan anda untuk bergerak antara Malaysia dan Singapura secara sah.
Kad Kastam
Kad Kastam ini digunakan untuk keluar dan masuk pagar .
Kad ini dikeluarkan oleh pihak Kastam Diraja Malaysia, dan ia adalah kebenaran bagi kenderaan anda untuk keluar dan kembali ke Malaysia.
Anda perlu memohon kad ini pada pihak kastam sebelum memulakan perjalanan ke Singapura.
Dengan ini, anda sudah bersedia sepenuhnya untuk melakukan perkhidmatan cross border ke Singapura! Sekarang anda hanya perlu mencari pelanggan yang memerlukan perkhidmatan anda!
Tetapi..sama kah perkhidmatan pemindahan/penghantaran ke Singapura berbanding di dalam Malaysia?
4. Proses pengendalian pelanggan
Kebanyakkan proses mengendalikan perkhidmatan logistik ke Singapura adalah sama seperti di dalam Malaysia. Tetapi terdapat perkara yang perlu ditekankan supaya perjalanan anda tidak terhalang.
Senarai barangan teliti
Antaranya adalah untuk pastikan pelanggan menyenaraikan dengan teliti barang-barang mereka yang ingin dipindahkan.
Jika pelanggan anda adalah di kalangan syarikat (B2B), ini tidak menjadi masalah. Tetapi kepada pelanggan individu yang ingin berhijrah ke Singapura, mereka perlu tekankan keperluan ini.
Tujuan senarai barangan yang teliti ini adalah untuk forwarding agent anda menyediakan Commercial Invoice, dan juga untuk memastikan barangan yang memasuki Singapura adalah bukan barangan yang terlarang.
Jadi, pastikan pelanggan anda menyenaraikan setiap barangan mereka yang ingin dipindahkan menggunakan kenderaan anda. Senarai tersebut boleh diberi kepada forwarding agent anda untuk proses seterusnya.
Untuk makluman, antara barangan yang dilarang adalah barangan tembakau, minuman beralkohol, dadah, dan senjata api.
Pastikan tempat penghantaran
Perkara ini tidak ada perbezaannya jika dibandingkan dengan kerja pemindahan di dalam Malaysia, kerana anda sentiasa perlu pastikan keadaan bangunan sebelum penghantaran.
Tetapi disebabkan destinasi anda berada di negara jiran, kepastian yang lebih perlu diketengahkan.
Keadaan tempat penghantaraan adalah termasuk jenis bangunan (rumah teres atau apartment), tingkat berapa, dan sama ada lif disediakan atau tidak.
5. Sedia untuk bertolak
Anda sudah bersedia untuk menyediakan perkhidmatan cross border jika anda mempunyai kesemua perkara yang telah dibincangkan di atas.
Jika anda rasa perkhidmatan cross border boleh melonjakkan bisnes pengangkutan anda, kini lah masanya!