Uncategorized

Panduan Lengkap Memulakan Bisnes Pengangkutan Lori (Bhg 2)

By 14/12/2016Disember 3rd, 2021No Comments

Artikel ini adalah artikel kedua daripada lima bahagian yang TheLorry akan keluarkan untuk memberi panduan kepada tuan-tuan yang berminat untuk berkecimpung dalam bisnes pengangkutan lori.

Sila rujuk pautan di bawah untuk membaca artikel-artikel yang lain:

Table of Content


  1. Bahagian 1: Peluang dalam bidang pengangkutan lori dan langkah pertama
  2. Bahagian 2: Mencari tugasan pertama
  3. Bahagian 3: Tools dan alat-alat yang anda perlu anda untuk memulakan bisnes pengangkutan lori
  4. Bahagian 4: Tips untuk menguruskan operasi pengangkutan lori

Bahagian 2: Mencari tugasan pertama

Artikel yang lepas kita sudah lihat beberapa cara untuk mendapatkan lori pertama, sama ada tuan-tuan patut pandu sendiri atau mencari pemandu serta jenis-jenis tugasan untuk bisnes pengangkutan lori.

Kini tiba masanya untuk dapatkan tugasan yang pertama dan mula jana pendapatan.

Dalam artikel ini kita akan lihat 7 teknik yang tuan-tuan boleh praktikkan untuk mendapat tugasan pertama.

1. Media sosial

Media sosial seperti FacebookTwitterInstagram kini adalah medium utama untuk mendapatkan dan bertukar-tukar berita, informasi serta idea.

Kuasa media sosial ini sungguh berpengaruh sehingga ianya dapat menumbangkan kerajaan dan ketua-ketua negara.

Kuasa ini juga membolehkan bisnes-bisnes besar dan kecil mengiklankan produk mereka ke pelanggan-pelanggan dengan mudah.

Untuk artikel ini, kita hanya akan fokus satu platform media sosial sahaja iaitu Facebook.

Bagaimana hendak mendapatkan bisnes daripada Facebook?

Mengikut statistik, lebih 10.9 juta rakyat Malaysia mempunyai akaun Facebook. Jumlah pengguna Facebok seluruh dunia? 1.8 billion.

Saya pasti tuan-tuan ada akaun Facebook. Sekiranya tidak ada, sila daftar sekarang!

Memandangkan ramai orang membuka Facebook mereka (mengikut kajian – 18,000 jam satu hari), Facebook sudah menjadi satu lubuk pengiklanan buat syarikat-syarikat yang ingin mempromosikan produk mereka.

Ada banyak cara untuk kita mempromosikan servis di Facebook, ada yang mudah dan ada yang memerlukan kemahiran teknikal.

Untuk artikel ini kita akan lihat teknik-teknik mudah.

  • Menulis konten dan info menarik dalam Facebook pagePengguna Facebook sentiasa mahukan konten dan info yang menarik dan berguna untuk mereka baca dan share kepada kenalan mereka.Lagi ramai orang share, lagi ramai orang akan baca dan kenal tentang bisnes kita.Apabila ramai orang share, kita akan alami satu fenomena yang dinamakan viral.Fenomena ini akan berlaku sekiranya konten dan info kita sampai kepada pengguna FB dan di-share, kemudian di-share semula oleh kenalan mereka dan seterusnya sehingga ia mencapai ribuan dan jutaan pengguna.Jadi bagaimana boleh kita tulis konten dan info yang akan orang ramai akan share?


Mengikut kajian, pengguna akan kongsikan konten dan info yang apabila dibaca, menyebabkan reaksi sama ada emosi positif atau emosi negatif.

Emosi-emosi negatif adalah:

  1. Kesediha
  2. Keresahan

Manakala emosi-emosi positif adalah:

  1. Kepuasan
  2. Hiburan

Jadi bagaimana kita sebagai pengusaha bisnes lori boleh mengaplikasikan ilmu di atas?

Mula-mula, kita perlu buat Facebook page.

Pergi ke https://www.facebook.com/pages/create/ dan kemudian pilih “Company, Organisation or Institution”.

Kemudian pilih “cargo and freight company”.

Kemudian teruskan butiran tentang syarikat tuan-tuan dan servis apa yang ditawarkan di bahagian “1. About” dan pilih gambar profile yang tuan-tuan suka di bahagian “2. Profile picture”.

Gambar profile ini boleh jadi gambar lori atau gambar hensem tuan-tuan bersama-sama lori.

Boleh abaikan “3. Add to Favourites” dan “4. Preferred Page Audience” buat masa ini.

Setelah tekan butang “Save” di penghujung, siap sudah Facebook page kita.

Sesudah buat Facebook page, bolehlah kita tulis konten dan info yang menarik.

Tuan-tuan tidak perlu tulis ayat formal dan berstruktur apabila membuat konten. Tulis sahaja seperti berbual di WhatsApp/SMS. Asalkan orang faham.

Antara konten dan info yang boleh kita tulis untuk menjana emosi:

  • Gambar dan cerita bagaimana kita menjalankan tugasan yang berat/menarik (lagi bagus kalau dapat pelanggan artis!)
  • Tip-tip pindah rumah dan kemas barang
  • Tip-tip mencari rumah untuk pindah
  • Cerita-cerita lawak tentang pelanggan dan hidup sebagai pengusaha lori
  • Gambar-gambar tempat-tempat menarik di Malaysia sewaktu perjalanan menghantar barang
  • Video tuan-tuan bercerita dan berceloteh tentang isu semasa

Contoh konten menarik menggunakan video.

Tuan-tuan tidak perlu sentiasa ada depan telefon dan main Facebook untuk membuat konten dan info. Tuan-tuan boleh “schedule” atau jadualkan post tuan untuk hari akan datang.

Di bahagian menulis status, tulis konten dan info yang tuan-tuan mahu dan tekan butang “Schedule” seperti di bawah:

Selepas itu tuan-tuan boleh pilih tarikh dan masa yang tuan-tuan mahu untuk post ini keluar di Facebook page. Mudah, bukan?

Setelah itu, minta kenalan dan sahabat kita share post tersebut. Lagi ramai orang share, lagi bagus.

Target tuan-tuan adalah untuk pastikan post yang ditulis di-share dan untuk bisnes tuan-tuan dikenali ramai.

Apabila dikenali ramai, barulah senang untuk kita dapatkan pelanggan.

Dalam strategi media sosial, kita perlu MEMBERI dahulu sebelum MENERIMA. Memberi info, konten, panduan, cerita, cara sebelum menerima pelanggan, kenalan dan partner yang dapat kembangkan bisnes kita.

Promosi di Facebook group

Antara cara yang efektif untuk mendapatkan pelanggan adalah dengan mempromosikan servis tuan-tuan di Facebook group.

Apa itu Facebook group?

Facebook group adalah ibarat satu forum atau persatuan di mana pengguna Facebook boleh kongsi informasi, konten dan berita yang menarik bersama pengguna lain yang mempunyai minat yang sama.

Tuan-tuan minat dengan kucing? Boleh sertai group tentang kucing.

Minat kereta? Boleh sertai group tentang jual dan beli kereta.

Untuk industri pengangkutan lori, antara group Facebook yang tuan-tuan boleh sertai:

Untuk teknik promosi di Facebook group, mula-mula tuan-tuan perlu cari Facebook group yang ada “lubuk” pelanggan.

Jangan promosi di Facebook group yang ada pengusaha lori. Di situ tiada pelanggan. Untuk berkongsi pendapat dan informasi tiada masalah.

Untuk mencari pelanggan yang minat untuk menyewa lori, tuan-tuan boleh sertai group seperti di bawah:

Group di atas mempunyai pelanggan potensi kerana mereka mesti akan mencari lori untuk mengangkat barang-barang.Namun begitu, kita tak boleh main redah je dan iklankan produk dalam group tersebut.

Tuan-tuan boleh buat seperti berikut:

  • Langkah #1: Perkenalkan diri/bagi salam dalam group.
  • Langkah #2: Berikan pendapat dan berikan komen di posting-posting lain. Luangkan masa untuk pastikan kita dikenali dalam group.
  • Langkah #3: Buat posting yang bermanfaat kepada pengguna yang lain dalam group tersebut. Boleh post tips, berita dan info yang menarik.
  • Langkah #4: Sekali-sekala, buat iklan dalam group.

Elemen-elemen penting untuk buat iklan di Facebook Group:

  1. Gambar – Pastikan gambar yang kita letak menerangkan tentang servis yang kita hendak promosi
  2. “Headline” – Headline adalah ayat pertama yang kita tulis dalam iklan kita. Tulis ayat yang menarik perhatian ataupun soalan yang membuat mereka berfikir.
  3. Servis – Tulis servis yang kita sediakan dan kenapa mereka perlu beli dengan kita.
  4. “Call to action” – Tulis no telefon atau email yang pelanggan boleh hubungi

Contoh iklan di Facebook group yang boleh digunakan sebagai rujukan:

2. Flyers dan bunting

Tuan-tuan mesti pernah nampak iklan “lori sewa” yang diletakkan di tiang-tiang lampu dan pokok-pokok, bukan?

Strategi ini dinamakan “potong papan”.

Kebiasaannya papan-papan tanda ini diletakkan di pokok-pokok dan tiang-tiang lampu berhadapan kondominium/flat.

Dan pada setiap pokok, kadang-kadang 2-3 nombor adalah orang yang sama.

Ini memberi ilusi kepada pelanggan yang mereka mempunyai pilihan dan meningkatkan kebarangkalian pelanggan membuat panggilan.

Strategi ini boleh dikatakan baik kerana kami pernah berjumpa dengan pengusaha lori yang “pindah 70 rumah sebulan” dengan menggunakan teknik ini.

Namun begitu, risiko untuk kita dikenakan saman sehingga RM600 untuk setiap kesalahan serta nombor kita disenaraihitam daripada SKMM tinggi.

Ada cara lain tak? Ada!

i. Edar flyers

ii. Bunting

3. Pergi pintu ke pintu

Tuan-tuan juga boleh pergi pintu ke pintu untuk mencari tempahan pertama.

Apa itu pintu ke pintu (door to door)?

Ini adalah teknik di mana kita pergi ke setiap pejabat di sesuatu kawasan dan perkenalkan diri dan servis kita.

Bagaimana untuk aplikasikan teknik ini?

  • Sediakan kad bisnes dan “rate card”
  • Berpakaian kemas dan sopan serta memakai kasut
  • Pilih lokasi industri seperti Shah Alam, Puchong, Sungai Buloh atau KLIA
  • Fokus kepada syarikat-syarikat makanan kering, tekstil, freight forwarder, elektronik dan lain-lain yang berkenaan
  • Minta izin untuk masuk ke dalam pejabat dalam kawasan tersebut
  • Sekiraya ada guard, beritahu ada temujanji dengan bahagian logistik
  • Lebih bagus kalau tuan-tuan tahu nama pegawai yang bekerja di bahagian logistik. Boleh Google atau gunakan kenalan untuk dapatkan infomasi ini.
  • Sekiranya tidak diberi masuk, merayulah dengan guard itu untuk diberi masuk. Tujuan kita untuk mencari rezeki
  • Setelah masuk pejabat, minta kebenaran daripada receptionist untuk berjumpa dengan pegawai bahagian logistik
  • Sekiranya tidak dibenarkan, tinggalkan kad bisnes dan “rate card” kepada receptionist dan minta mereka beri kepada pegawai tersebut
  • Sekiranya dibenarkan, cubalah beramah mesra dengan pegawai tersebut dan bina keyakinan dan hubungan yang baik
  • Beri kad bisnes dan “rate card” dan beritahu pegawai tersebut bahawa tuan boleh dihubungi bila-bila masa untuk berbincang dengan lanjut

Untuk melaksanakan teknik ini, perlu ada semangat dan jiwa yang kental. Akan ada ramai orang yang akan menolak pelawaan kita.

Tetapi untuk teknik pintu ke pintu, selalunya kadar kejayaan kita adalah 2 ke 5%.

Bermakna, daripada 100 orang yang kita jumpa, 5 orang akan bersetuju untuk menggunakan khidmat kita.

Jadi, kita kena sabar dan yakin bahawa rezeki akan datang dengan usaha yang gigih.

4. Komuniti

Dalam setiap jenis perniagaan, selalunya ada persatuan atau komuniti yang akan memperjuangkan isu-isu ahli-ahli mereka.

Sebagai contoh, untuk pengusaha lori, ada persatuan Pan Malaysia Lorry Owners Association.

Tetapi ada juga komuniti dan persatuan yang lebih kecil seperti Malaya Hunter Truckers Club (MHTC), Pantai Timur Truckers Club (PTTC) dan ICT Group.

Ada komuniti yang mempunyai yuran dan ada juga yang percuma.

Apabila kita sertai komuniti, kita berpeluang mendapat tempahan daripada ahli-ahli lain.

Ini akan terjadi apabila ahli-ahli tersebut mendapat tempahan yang melimpah dan lori mereka tidak dapat menampung permintaan yang tinggi.

Secara lazim aktiviti “passing job” ini akan berlaku dalam WhatsApp group atau apa saja medium komunikasi antara ahli-ahli.

Kebiasaannya juga, presiden atau ketua komuniti/persatuan akan menggunakan jaringan ahli-ahli yang mereka ada untuk mencari projek besar. Ini juga dapat membantu kita untuk mencari tempahan.

5. Iklaneka

Antara strategi yang biasa digunapakai oleh pengusaha lori adalah untuk mengiklankan servis mereka di laman web iklaneka.

Apakah itu iklaneka (classifieds)?

Iklaneka adalah satu laman web yang membolehkan penjual mengiklankan produk dan servis mereka kepada pembeli.

Ada laman web yang membolehkan kita mengiklankan produk secara percuma dan ada pula yang memerlukan kita membayar yuran terlebih dahulu.

Antara laman web iklaneka yang tuan-tuan boleh cuba:

Buat masa ini, kami cadangkan tuan-tuan promosikan servis di Mudah.my dan Majalah.com.

Mengikut pengalaman kami kedua laman web ini sangat popular dan mampu untuk menarik perhatian pelanggan yang berpotensi.

Lihatlah sahaja nombor-nombor mereka:

Mudah.my – 10 juta pengunjung sebulan
Majalah.com – 414,000 pengunjung sebulan

Pengiklanan untuk kedua-dua laman web di atas adalah percuma tetapi perlu bayaran sekiranya tuan-tuan hendak mendapat posisi iklan yang lebih baik.

Sebagai contoh, untuk Majalah.com, satu akaun hanya boleh iklan sekali sebulan. Tetapi sekiranya tuan-tuan beli akaun VIP dengan harga RM360 setahun, tuan-tuan boleh mengiklankan servis seminggu sekali serta kebaikan-kebaikan lain.

Untuk Mudah.my pula, untuk menaiktrafkan iklan kita sebagai “featured” (posisi yang lebih tinggi dan warna yang lebih menarik), tuan-tuan perlu bayar RM64 untuk iklan sebulan.

6. Platform

Platform seperti Uber dan Grab telah membawa perubahan kepada cara lama membuat bisnes.

Sekiranya dulu caranya adalah dengan menghubungi dispatcher untuk membuat tempahan teksi. Kini anda hanya perlukan aplikasi telefon untuk membuat tempahan.

Dan kini kedua-dua syarikat di atas bernilai berbillion dollar Amerika.

Jadi ada tak platform yang serupa untuk pengusaha lori di Malaysia?

Ada – thelorry.com/my atau TheLorry.

TheLorry adalah satu platform di mana ianya menghubung pelanggan dan pemandu lori dengan penggunaan teknologi seperti aplikasi telefon.

Harga yang dikenakan adalah tetap dan telus. Sudah berpuluh ribu pelanggan menggunakan TheLorry semenjak penubuhan 2 tahun lepas.

Dengan TheLorry, tuan-tuan tidak perlu risau tentang:

  • Mengiklankan servis
  • Strategi marketing
  • Quotation
  • Melayan pelanggan (Customer Service)
  • Jualan (Sales)

Semuanya diselesaikan oleh pihak TheLorry.

Tuan-tuan hanya perlu fokus membuat tugasan sahaja!

Namun begitu, kami sarankan tuan-tuan gunakan platform seperti TheLorry sebagai sampingan dan untuk menambah pendapatan yang sedia ada.

ni kerana kita perlu juga fokus untuk membina jenama dan bisnes sendiri untuk jangka panjang.

Sekiranya berminat, tuan-tuan boleh daftar di sini.

7. Perkongsian

Sebagai contoh, tuan ada 1 lori, abang tuan ada 1 lori dan sahabat kampung ada 1 lori.

Dengan 3 lori ini, tuan-tuan boleh buka syarikat perkongsian dan sama-sama mencari tugasan.

Tuan-tuan boleh buka syarikat di mana pemiliknya adalah 3 orang ataupun membuat agreement kerjasama di antara tiga syarikat.

Kekuatan perkongsian ini membolehkan tuan-tuan mendapat tugasan yang tidak dapat diperoleh sekiranya bergerak solo.

Ibarat pepatah: “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”

Keuntungan, sekiranya ada, dibahagikan mengikut modal dan tenaga yang disumbangkan atau seperti yang dipersetujui.

Tuan-tuan ada teknik lain untuk mendapat tempahan pertama? Kongsikan di bawah.

Sambung baca artikel Bahagian 3: Tools dan alat-alat yang anda perlu anda untuk memulakan bisnes pengangkutan lori (akan datang)

Sharing is caring