Tips Pindah Rumah

Tips dan Amalan Semasa Berpindah ke Rumah Baru Mengikut Islam

By 18/08/2023No Comments

Tahniah kepada anda yang sudah berpindah ke rumah baru. Pastinya sebagai umat islam kita ada tips dan amalan ketika berpindah ke rumah baru adalah sebagai menunjukkan rasa syukur kepada Allah atas rezeki yang diberikan. Berikut adalah beberapa tips dan amalan yang boleh diikuti semasa berpindah ke rumah baru:

1. Laungan Azan

Adalah digalakkan untuk melaungkan azan sewaktu pertama kali ingin masuk ke rumah baru. Tindakan ini adalah amat baik bagi bangunan yang telah lama ditinggalkan atau tanpa tiada penghuni. Sebaiknya pilihlah tarikh, hari dan masa yang sesuai untuk berpindah masuk ke rumah itu dan elakkan pada waktu Maghrib.


Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah bangunan (premis atau rumah) itu terlalu lama ditinggalkan kosong (tanpa penghuni) ia akan dimasuki oleh sejenis makhluk halus yang suka tinggal di kawasan rumah yang tiada dihuni oleh manusia.

2. Membaca Surah Al-Baqarah

Anda digalakkan untuk membaca surah Al-Baqarah sewaktu pertama kali anda ingin menduduki rumah baru anda. Ini juga selari dengan hadis Rasulullah SAW

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِى تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

Maksudnya: “Janganlah kamu semua menjadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surat al-Baqarah”

Hadis Riwayat Muslim (780)

3. Menunaikan Solat Sunat Keluar dan Masuk Rumah

Sekiranya anda ingin keluar dan masuk rumah, digalakkan juga untuk menunaikan solat sunat dua rakaat agar kita dihindari dari perkara-perkara yang tidak baik dalam dan luar rumah.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِذَا خَرَجْتَ مِنْ مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ يَمْنَعَانِكَ مِنْ مَخْرَجِ السُّوْءِ وَإِذَا دَخَلْتَ إِلَى مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ يَمْنَعَانِكَ مِنْ مَدْخَلِ السُّوْءِ

Maksudnya: “Jika engkau (ingin) keluar dari rumahmu, maka laksanakanlah solat dua rakaat (yang dengan) dua rakaat ini akan menghalangimu dari keburukan yang berada di luar rumah. Jika engkau masuk ke dalam rumahmu, maka laksanakanlah solat dua rakaat (yang dengan) dua rakaat ini akan menghalangimu dari keburukan yang ingin masuk ke dalam rumah.”

Hadis Riwayat al-Bazzar. Berkata Ibn Hajar al-Haythami: Rijalnya thiqah

4. Membaca Bismillah Setiap Kali Melangkah Masuk atau Keluar Pintu Rumah

Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ

Maksudnya:“Apabila seseorng masuk ke dalam rumah lalu dia mengingati Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata: ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingati Allah ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kalian mendapatkan tempat menginap’.”

Hadis Riwayat Muslim (2018), Abu Daud (3765) dan lain-lain.

Juga daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا

Maksudnya: “Tutuplah pintu, dan sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup (yang disebut nama Allah).”

Hadis Riwayat Bukhari (3304), Muslim (2012) dan yang lainnya

5. Memberi Salam

Sebagai orang islam, disunatkan untuk memberi salam setiap kali melangkah masuk ke dalam rumah walaupun di dalam rumah tidak berpenghuni sekalipun.

Daripada Nafi` bahawa Abdullah bin Umar R.anhuma berkata:

إِذَا دَخَلَ الْبَيْتَ غَيْرَ الْمَسْكُونِ فَلْيَقُلِ السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين.

Maksudnya: “Jika engkau memasuki suatu rumah yang tidak berpenghuni maka katakanlah: Assalamu`alaina wa `ala ibaadillahis solihin – Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.”

Hadis riwayat al-Bukhari  (1055) dalam al-Adab al-Mufrad. Ibn Hajar al-Asqalani berkata sanadnya hasan.


Ingatlah bahawa doa adalah cara kita berkomunikasi dengan Allah. Yang lebih penting daripada mengikuti adab tertentu adalah menghulurkan doa dengan tulus dan penuh penghormatan. Sentiasa berdoa dengan hati yang ikhlas dan percayalah bahawa Allah akan mendengar dan menjawab doa kita mengikut hikmah-Nya. Semoga dengan amalan ini, kita berdoa agar dihindari dari perkara-perkara yang tidak baik dan dilindungi oleh Allah SWT.

Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan

Sharing is caring