Deepavali adalah salah satu perayaan yang dinantikan oleh masyarakat di negara dengan kepelbagaian etnik. Kebersamaan dan keharmonian di kalangan masyarakat Malaysia menyatukan penduduk tanpa menghiraukan asal bangsa atau etnik, terutama pada musim perayaan apabila setiap komuniti merayakan perayaan masing-masing.
Hari Deepavali, juga dikenal sebagai Diwali atau Divali, adalah sebuah perayaan yang dirayakan oleh umat Hindu di seluruh dunia dan dijadikan hari cuti di Malaysia. Kata “Deepavali” berasal dari kata ‘Dipa’ yang bererti cahaya dan ‘Gavali’ yang bererti barisan. Perayaan ini jatuh pada hari ke-14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil, antara bulan Oktober dan November.
Pada hari bersejarah ini bagi penganut agama Hindu, Sikh, dan Jain, banyak dari mereka menghiasi rumah dengan pelita, sementara mercun dinyalakan. Selain itu, tradisi ini juga melibatkan pembahagian gula-gula dan hadiah kepada anggota keluarga, kerabat, dan tetangga terdekat. Seterusnya, umat Hindu akan melaksanakan upacara sembahyang dan keagamaan sebagai sebahagian dari perayaan ini.
Secara tradisional ia adalah sebuah perayaan yang diperingati oleh penganut Hindu untuk mengenang kepulangan Maharaja Rama bersama-sama dengan Sita dan Lakshman. Mereka kembali setelah hidup dalam pengasingan selama empat belas tahun dan berhasil mengalahkan raja zalim Ravana.
Sebut sahaja Deepavali, orang ramai biasanya teringat kepada ‘muruku’ atau tosai, yang menjadi sinonim dengan perayaan ini. Walau bagaimanapun, terdapat banyak aspek yang mungkin tidak diketahui oleh ramai mengenai perayaan ini. Jadi, untuk mereka yang kurang akrab dengan tradisi ‘Pesta Cahaya’ yang dirayakan oleh masyarakat India di seluruh negara, berikut adalah beberapa maklumat yang perlu diketahui!
Sembahyang Untuk Nenek Moyang
Walaupun ramai di Malaysia kini mempunyai pelbagai perayaan kaum, salah satu tradisi yang mungkin kurang diketahui adalah upacara sembahyang pada malam sebelum Hari Deepavali. Upacara kecil ini diadakan di rumah masing-masing, dihadiri oleh keluarga terdekat, untuk mengenang nenek moyang yang telah meninggal dunia. Pelbagai hidangan sayur-sayuran disediakan dan diletakkan di depan gambar-gambar ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Upacara ini dijalankan setiap tahun sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang telah pergi.
Mandi Minyak
Sebelum matahari terbit pada pagi Deepavali, satu tradisi penting ialah mandi minyak. Tradisi ini dimulakan dengan ahli keluarga tertua menyapu minyak bijan ke atas kepala setiap ahli keluarga. Mandi minyak ini dianggap sebagai pembersihan diri dari segala kejahatan dan sifat dengki, setaraf dengan upacara mandi suci di Sungai Gangga. Selepas mandi minyak, kebanyakan penganut Hindu menghadiri upacara sembahyang di kuil atau di rumah.
Pada pagi Hari Deepavali, semua ahli keluarga akan bangun lebih awal, sebelum matahari terbit. Sejak pukul 3 pagi, penganut agama Hindu akan menyala pelita atau lampu di sekitar rumah. Seluruh keluarga juga akan mandi dan membersihkan diri sebelum memberi salam dan meminta maaf kepada ibu bapa dan anggota keluarga yang lain.
Selain itu, upacara mandi minyak bijan turut dijalankan pada awal pagi sebelum matahari terbit. Penganut Hindu menjalankan upacara ini dengan tujuan menyucikan badan dan semangat, sebagai simbol penyucian diri. Minyak bijan ini akan disapukan ke atas kepala setiap ahli keluarga. Keberkatan mandi minyak bijan diibaratkan seperti mandi di Sungai Ganges yang suci, untuk membersihkan diri daripada segala kejahatan dan sifat dengki. Selepas mandi, mereka akan memakai pakaian dan perhiasan baru pada pagi Deepavali, bertujuan untuk menghilangkan segala sifat buruk dan kejahatan dalam diri seseorang.
Kolam Dari Pelita
Hiasan kolam tepung beras menjadi lazim menjelang Deepavali, tetapi ketika perayaan tiba, kolam ini dikombinasikan dengan lampu pelita (vilakku) di depan pintu. Kolam dihasilkan menggunakan bahan-bahan seperti tepung beras, kapur, serbuk kapur, serbuk batu, atau serbuk berwarna semulajadi atau sintetik. Selain menjadi hiasan, kolam juga menarik serangga dan burung sebagai sumber makanan. Pelita, sebagai simbol cahaya, sangat penting dalam tradisi ini, melambangkan ‘Pesta Cahaya’ Deepavali.
Kemahiran mencipta ‘kolam’ ini biasanya diwarisi secara turun-temurun. Walaupun kelihatan mencabar, penganut Hindu mampu membentuknya dengan indah, unik, dan menarik, kebanyakkannya dihiasi dengan motif tumbuhan. Upacara ini mempunyai makna yang sangat penting kerana perayaan ini bukan hanya dirayakan oleh penganut Hindu, tetapi juga oleh makhluk lain di dunia.
Hiasan ‘kolam’ ini melambangkan penghormatan kepada dewa Lakshmi, Dewi Kekayaan yang dipercayai hanya akan melawat rumah-rumah yang dihiasi dengan ‘kolam’ di pintu masuk mereka.
Manisan
Tidak lengkap sebuah perayaan tanpa hidangan lazat. Deepavali terkenal dengan pelbagai hidangan, termasuk muruku dan manisan seperti laadu dan nei urundai (ghee ball). Tradisi menyambut berita baik dengan manisan diwarisi dari nenek moyang, dan pesta cahaya ini turut diraikan dengan manisan-manisan istimewa.
Manisan adalah identiti masyarakat India yang disukai bukan sahaja oleh orang India tetapi juga oleh masyarakat lain di negara ini. Dalam budaya India, manisan sering menjadi hidangan pembuka sebelum memulakan sesuatu acara, upacara, atau perayaan. Mereka percaya bahawa manisan dapat membawa kegembiraan, keseronokan, nilai positif, dan kesejahteraan yang berpanjangan. Itulah sebabnya manisan yang lebih manis dan sedap dianggap lebih baik dan dialu-alukan.
Biasanya, manisan ini disajikan bersama hidangan tradisional India yang terkenal seperti halwa dan laddu. Malah, terdapat sembilan jenis hidangan sayuran yang disediakan pada pagi Deepavali, termasuk ‘Aloogobi’ iaitu campuran ubi kentang dan kobis bunga, ‘paneer’ yang dicampur dengan masala bersama yogurt dan kari dhal. Jangan lupa juga kuih tradisional seperti muruku, adirasam, dan payasam. Muruku, Neiurundai, dan Atherasam adalah beberapa contoh kuih tradisional India.
Restu Dari Ibu Bapa
Ibu bapa dianggap sebagai penyebab kewujudan setiap manusia, dan restu mereka memainkan peranan penting dalam kehidupan. Pada Hari Deepavali, meminta restu dan reda dari ibu bapa dianggap sebagai perkara yang wajib dilaksanakan. Kehadiran restu ibu bapa juga dianggap sebagai satu bentuk ketaatan kepada perintah Tuhan.
Amalan Kunjung Mengunjung
Amalan melawat rumah saudara-mara terdekat tetap dikekalkan pada hari selepas Hari Deepavali untuk memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim di kalangan mereka. Sesetengah penganut agama Hindu mengadakan sambutan perayaan secara besar-besaran dengan menganjurkan rumah terbuka untuk menjamu sanak-saudara dan rakan-rakan mereka yang bukan beragama Hindu. Rumah terbuka tersebut penuh dengan pelbagai hidangan tradisional seperti nasi beriani, kari ayam, kurma, tosai, murukku, achi murukku, omapodi, dan manisan seperti laddu dan neiurundai untuk para tetamu yang hadir.
Amalan memberi wang, atau angpau, kepada kanak-kanak semakin popular pada Hari Deepavali. Angpau ini biasanya diberikan oleh orang dewasa kepada kanak-kanak melalui sampul duit dengan pelbagai bentuk dan warna. Amalan ini turut menyemarakkan suasana perayaan Hari Deepavali.
Mungkin ada di antara anda yang kurang memahami tentang sambutan Hari Deepavali. Oleh sebab itu, entri ini dikeluarkan untuk memberikan pemahaman yang lebih kepada masyarakat tentang budaya masyarakat India di Malaysia, kebanyakannya beragama Hindu, dan cara mereka menyambut Hari Deepavali. Seperti kata pepatah, “Perbezaan dirai, kemeriahan dikongsi,” biar pengetahuan ini memupuk sikap saling hormat-menghormati.