Ia tidak lagi dinafikan bahawa berpindah rumah adalah suatu aktiviti yang sangat merunsingkan dan memenatkan. Dan jika anda bepindah bersama bayi dan kanak-kanak, berganda-ganda jugalah stress yang akan dialami.
Tetapi selepas penat lelah menjalankan tugasan perpindahan, anda perlu pula memikirkan untuk menjadikan rumah baru anda ini selamat untuk bayi anda yang sedang membesar.
Tidak mengapa, kami boleh membantu anda dengan perkara ini! Ikuti 10 tips berikut untuk memastikan rumah anda selamat untuk bayi anda.
1. Kurangkan bucu-bucu tajam
Mengikut purata, kebanyakkan bayi akan mula merangkak seawal umur 8 bulan. Jadi jika anda mempunyai seorang bayi yang sudah pandai untuk merangkak dan bergerak sendiri (atau yang hampir pandai), anda patut kurangkan risiko untuk mereka cedera disebabkan bucu perabot.
Bucu-bucu perabot seperti laci, almari, dan katil adalah objek yang paling biasa menyebabkan bayi cedera.
Kenal pasti setiap bucu tajam yang berada di kedudukan rendah, dan cuba menggunakan kain atau getah untuk hilangkan ketajamannya.
Anda boleh juga membeli alatan khas untuk kurangkan tajam bucu seperti ini .
Dan bagaimana untuk anda mengenal pasti segala ruangan bahaya untuk bayi anda? Anda perlulah turun ke posisi mereka dan lihat sendiri!
2. Pasang pagar di tangga dan kawasan larangan
Antara perkara yang paling ngeri untuk ibubapa, apabila bayi mereka merangkak berdekatan tangga atau dapur.
Terdapat banyak produk keselamatan bayi yang khas digunakan untuk mengelak perkara ini, dan kalian ibubapa mempunyai banyak pilihan berdasarkan bajet masing-masing.
Tetapi jika anda rasa anda ingin menjimatkan kos, anda boleh juga menggunakan rangka katil lama dan sedikit tali untuk membuat pagar menutupi tangga rumah anda.
3. Jangan biarkan barangan kecil di lantai
Bayi pada umur ini sangat suka memasukkan barangan ke dalam mulut mereka secara rambang. Ia menjadi tugas kita untuk memastikan bahawa tiada apa-apa objek di lantai atau kawasan rendah.
Untuk mengenal pasti barangan yang menjadi risiko tinggi untuk bayi anda, anda boleh melakukan ujian toilet paper tube.
Ujian ini melibatkan tiub kadbod tisu tandas yang senang didapati. Dengan tiub kadbod tersebut, and boleh cuba memasukkan apa-apa barangan kecil dan lihat sama ada ia boleh melepasi bulatan tiub tersebut atau tidak.
Jika boleh, barang tersebut berkemungkinan besar boleh memasuki mulut bayi anda dengan senang.
4. Tutup soket elektrik
Soket elektrik adalah sangat bahaya bagi bayi kerana kebanyakkannya berada di ruangan bawah dinding, berdekatan dengan lantai.
Di Malaysia, kesemua soket elektrik yang digunakan mempunyai suis buka dan tutup aliran elektrik. Namun ia masih boleh mendatangkan bahaya kepada sesiapa yang mejolok apa-apa objek ke dalamnya.
Ini termasuklah bayi anda yang mempunyai kuat sifat ingin tahu itu. Jadi, kenal pasti kesemua soket elektrik yang jarang digunakan dan tutupkannya.
Cara yang paling mudah adalah untuk kita meletakkan barangan atau perabot yang berat supaya ia tidak terdedah.
Anda juga boleh membeli pelbagai jenis penutup soket di kedai-kedai alatan dan online.
5. Pasang selak di laci
Ini khasnya kepada bayi-bayi yang suka menarik laci kerana suka akan pemegang laci tersebut. Dan ia membawa bahaya jika barangan di dalam laci tersebut adalah berbentuk tajam, berat, dan merupakan bahan-bahan beracun seperti sabun pencuci.
Cara paling senang untuk mereka tidak membuka laci-laci ini? Pasangkan selak kecil di bahagian atas laci tersebut. Ia tidak perlu berkunci pun, hanya perlu menahan laci itu dari terbuka jika ditarik dengan cara biasa.
6. Kenal pasti perabot usang
Mungkin anda tidak sanggup untuk membuang perabot lama yang anda saying, dan telah membawanya ke rumah baru anda. Tetapi perabot tersebut sudah pun tua dan tidak lagi kukuh.
Dan jika bayi anda sudah mula belajar untuk berdiri, mereka akan berpaut kepada perabot-perabot di rumah untuk mengangkat badan mereka. Sangatlah ngeri memiirkan perabot yang kurang kukuh dipaut oleh bayi anda!
Jadi haruslah kita mengenal pasti perabot-perabot kita yang using dan lama.
7. Sorok dan urus wayar elektrik
Adalah satu perkara yang biasa pada zaman sekarang untuk rumah dipenuhi dengan macam-macam barangan elektrik. Dan barangan elektrik kebanyakkanya memerlukan wayar.
Wayar-wayar yang bersangkutan dan bergantungan mungkin akan membawa padah kepada bayi yang geram untuk menariknya.
Antara yang boleh kita buat untuk mengurangkan risiko ini adalah dengan menguruskan wayar tersebut dengan lebih teratur. Lekatkan wayar kepada dinding menggunakan alat khas dan elakkan daripada ia tergantung.
Atau sekurang-kurangnya susun wayar-wayar tersebut dengan meletakkannya di tempat tinggi, supaya bayi anda tidak sampai untuk menariknya.
8. Alihkan barangan merbahaya
Ini patut menjadi satu tabiat untuk ibubapa, di mana mereka patut mengalihkan segala barangan yang merbahaya kepada bayi dari bilik dan ruang yang bayi sedang berada.
Barangan seperti gunting, pemanas air, atau produk pencucian adalah antara barangan yang patut dijauhkan.
9. Sentiasa mengawasi pergerakan mereka
Bagaimana selamat pun rumah kita, langkah yang paling merbahaya adalah untuk ibubapa tidak mengawasi bayi mereka yang sedang merangkak.
Ini juga adalah satu perkara yang perlu dijadikan tabiat untuk ibubapa, memandangkan banyak perkara lain yang boleh melalaikan kita.
10. Didik mereka dari awal lagi
Tips terakhir ini adalah tips yang terpenting sebenarnya. Kunci keselamatan bayi kita bukannya terletak sepenuhnya pada keadaan sekeliling, tetapi pada didikan ibubapa.
Ya, bayi anda yang masih merangkak memang masih tidak dapat memahami percakapan anda, tetapi ia tidak bermaksud anda tidak boleh mula mendidiknya.
Gunakan perkataan seperti “itu bahaya”, “sakit nanti”, dan “itu bukan mainan” boleh mencerna minda bayi kita dari peringkat awal lagi. Lebih-lebih lagi apabila mereka rasa kesakitan selepas perbuatan mereka.
Tetapi jangan pula kita membiarkan bayi kita untuk cedera!