Langkah Pertama Memulakan Bisnes Lori di Malaysia – Peluang & Realiti Sebenar

Bisnes pengangkutan lori atau sewa lori secara luaran nampak mudah – tetapi realitinya banyak cabaran dan liku-liku yang perlu dihadapi.
Sekiranya tidak ada ilmu, peluang untuk ‘terbabas’ dan alami kerugian sangat tinggi.
Artikel ini adalah artikel pertama daripada lima artikel yang TheLorry akan keluarkan bagi membantu tuan-tuan yang berminat untuk menceburi bidang ini.
Diharap juga artikel ini dapat membantu pengusaha-pengusaha lori yang lama serta baru untuk menambah pengetahuan dan melincirkan gerak kerja seharian.
Artikel ini terbahagi kepada lima bahagian:
Table of Content
- Bahagian 1: Peluang dalam bidang pengangkutan lori dan langkah pertama
- Bahagian 2: Mencari tugasan pertama
- Bahagian 3: Tools dan alat-alat yang anda perlu anda untuk memulakan bisnes pengangkutan lori
- Bahagian 4: Tips untuk menguruskan operasi pengangkutan lori
Bahagian 1: Peluang dalam bidang pengangkutan lori dan langkah pertama
oleh TheLorry pada 5 Ogos 2024.
1. Peluang Dalam Bidang Pengangkutan Lori

Industri pengangkutan darat di Malaysia ini besar.
Mengikut statistik daripada Jabatan Statistik Malaysia, industri pengangkutan darat di Malaysia bernilai RM13.9 billion (wow!).
Terdapat lebih 36,000 syarikat pengangkutan lori di Malaysia di mana hanya 6% daripada jumlah ini terdiri daripada syarikat-syarikat gergasi (seperti Tiong Nam, Century, Yinson), manakalah yang selebihnya adalah syarikat-syarikat kecil dan sederhana. Nombor-nombor di atas menunjukkan jelas adanya potensi yang tinggi untuk menceburi bidang pengangkutan lori. Jualan purata untuk satu syarikat pengangkutan adalah RM386,000 (RM13.9 billion bahagi 36,000 syarikat). Sebagai perbandingan, jualan purata untuk bisnes makanan dan minuman adalah RM240,000 (RM16.7 billion bahagi 70,000 syarikat).
Ini bermakna, walaupun ada 36,000 syarikat pengangkutan lori, tetapi masih ada potensi untuk tuan-tuan membuat duit dalam bidang ini.
Tambahan lagi, industri pengangkutan lori buat masa ini mengalami kekurangan sebanyak 3,000-5,000 pemandu.
Rata-rata masyarakat Malaysia berfikiran bahawa menjadi pemandu lori adalah suatu pekerjaan yang dipandang rendah. Walhal, pemandu lori boleh meraih pendapatan antara RM2,500 ke RM8,000 bergantung kepada jenis lori dan waktu bekerja. Pandanglah rendah, asalkan poket kita penuh! Kekurangan pemandu lori juga memberi tanda bahawa masih ada peluang dan sebenarnya tidak terlambat untuk tuan-tuan ceburi bidang ini.
2. Bagaimana untuk mencari lori pertama
OK, pasaran pengangkutan lori telah kami huraikan. Jadi apa yang perlu tuan-tuan lakukan sekarang? Dapatkan lori pertama!
Ada 3 cara untuk mendapatkan lori pertama kita:
- Beli baru
- Beli second-hand
- Pajak
Beli baru
Sekiranya kita membeli lori baru, memang banyak kebaikannya daripada segi penjimatan minyak dan maintenance. Namun, kosnya agak tinggi dan memerlukan tuan-tuan mengeluarkan modal yang besar.
Model | 1 tan (10’) | 3 tan (14’) | 5 tan (17’) |
Isuzu | RM91,667 | RM111,514 | RM119,210 |
Hino | RM103,475 | RM112,000 | RM118,000 |
Mitsubishi | RM84,721 | RM99,464 | RM111,058 |
Purata | RM93,288 | RM107,659 | RM116,089 |
Jadual 1.0: Kos untuk membeli lori on the road ataupun lengkap segala kos.
Model | 1 tan (10’) | 3 tan (14’) | 5 tan (17’) |
Isuzu | RM1,405 | RM1,709 | RM1,827 |
Hino | RM1,586 | RM1,717 | RM1,809 |
Mitsubishi | RM1,299 | RM1,525 | RM1,702 |
Purata | RM1,430 | RM1,651 | RM1,781 |
Jadual 2.0. Kos pembayaran bank bulanan dengan andaian downpayment 20% daripada nilai lori dan faedah 3%
Berdasarkan nombor-nombor di atas, dapat kita rumuskan bahawa, sekiranya tuan-tuan hendak membeli lori baru:
- Antara RM18,000 – RM23,000 perlu dikeluarkan sebagai modal untuk downpayment
- Pembayaran bulanan antara RM1,400 – RM1,800
Sekiranya tuan-tuan membeli baru, penjimatan daripada segi maintenance adalah lebih kurang RM500-RM1,500 sebulan berbanding dengan lori lama.
Kita akan buat kira-kira ini dalam Artikel ke-5 “Pengurusan kewangan untuk bisnes pengangkutan lori” (akan datang).
Beli second-hand
Kita juga boleh mendapatkan lori pertama dengan membeli second-hand. Di mana boleh kita cari penjual? Boleh lihat di sini:
- Mudah.my
- Carlist.my
- Facebook group seperti Club Pemandu Lori Malaysia, Lori Untuk Disewa
- Kedai menjual lori terpakai seperti Sitia Motor & Credit Sdn Bhd
- WhatsApp group pengusaha lori
Secara am, berikut merupakan harga lori second-hand:
Model | 1 tan (10’) | 3 tan (14’) | 5 tan (17’) |
Minima | RM33,800 | RM53,000 | RM60,000 |
Maksima | RM13,800 | RM18,000 | RM30,000 |
Purata | RM23,800 | RM35,500 | RM45,000 |
Jadual 3.0. Kos membeli lori second-hand semua jenis model yang berumur 10 tahun ke bawah
Harga yang kita lihat di atas memang murah kalau nak dibandingkan dengan membeli lori baru. Kosnya dalam RM24,000 – RM45,000.
Tetapi sebelum meneruskan pembelian ada beberapa perkara yang tuan-tuan perlu tahu:
- Sekiranya tuan-tuan beli dengan pemilik, besar kemungkinan mereka akan meminta tunai sebagai pembayaran.
- Sekiranya tuan-tuan beli daripada kedai, kita boleh bayar secara ansuran untuk lori second-hand, tetapi kadar faedahnya lebih tinggi, mencecah 7-10% setahun.
- Tuan-tuan juga perlu peka dengan keadaan lori apabila membeli. Sebaiknya periksa enjin lori, pendawaian, aircon semuanya berjalan dengan lancar. Minta untuk buat test-drive dahulu sebelum membeli.
Pajak
Sekiranya kita tidak mahu risiko membeli lori sama ada baru ataupun second-hand, kita boleh memajak atau menyewa lori orang lain dengan kontrak 6 bulan ke 1 tahun.
Kebaikannya pajak ini adalah kita tidak perlu memiliki lori (boleh cuba-cuba dahulu) tetapi kosnya sedikit tinggi dan tidak ramai pemilik lori yang mahu pajakkan lori mereka atas faktor risiko.
Namun, sekiranya tuan-tuan bercakap dengan orang-orang yang betul, kami yakin tiada masalah untuk tuan-tuan dapatkan lori secara pajak.
Boleh terus bertanya di Facebook group dan WhatsApp group pengusaha lori.
Kos secara am untuk memajak adalah seperti berikut:
1 tan (10’) | 3 tan (14’) | 5 tan (17’) | |
Pajak bulanan | RM1,200 | RM2,000 | RM3,000 |
Jadual 4.0. Kos untuk memajak lori secara bulanan
Ingin pastikan perjanjian tuan-tuan dengan pemilik lori bertulis dan ada hitam putih?
Boleh muat-turun agreement untuk tujuan memajak lori.
Rumusan
Antara tiga kaedah di atas, kami di TheLorry cadangkan tuan-tuan memajak lori sekiranya tuan-tuan hendak mendapatkan lori pertama untuk ceburi bidang ini.
Apabila sudah belajar selok-belok bisnes pengangkutan lori, barulah tuan-tuan beli second-hand dan kemudian yang baru.
3. Mengupah pemandu vs pandu sendiri
Lori sudah ada, sekarang ini patutkah kita bawa lori itu sendiri? Atau kita upah pemandu untuk memandu?
Kedua-dua pilihan ini ada baik dan buruknya. Mari kita kupaskan:
Baik | Buruk | |
Pandu sendiri | Dapat mengawal kualiti tugasan dengan lebih baikPelanggan lebih suka apabila “boss” turun padang untuk menjalankan tugasan merekaDapat belajar tentang selok-belok bisnes pengangkutan lori pada fasa awal | Tidak mempunyai masa untuk membuat aktiviti marketing dan berjumpa dengan pelanggan.Tidak dapat menjawab panggilan daripada pelanggan waktu menjalankan tugasan |
Upah pemandu | Dapat memberi ruang kepada pengusaha untuk membuat aktiviti marketing, berjumpa dan menjawab panggilan pelanggan, mengeluarkan invois dan lain-lainDapat memberi fokus kepada aktiviti-aktiviti untuk membesarkan syarikat seperti berpartner dengan syarikat-syarikat lain. | Penambahan kos operasiPerlu ada Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat untuk memastikan pemandu tidak menyimpang daripada SOP.Perlu ada skil pengurusan pekerja yang mantap |
Awal penubuhan syarikat, kami di TheLorry sarankan tuan-tuan memandu lori sendiri dahulu. Kerja-kerja pejabat dan melayan pelanggan boleh dijalankan oleh rakan kongsi/keluarga/sahabat kita.
Apabila sudah lebih maju dan sudah biasa dengan cabaran-cabaran yang pasti kita perlu tempuhi, barulah kita upah pemandu.
4. Segmen pelanggan pengangkutan lori
Lori dan pemandu sudah ada. Sekarang ini kita perlu fikir segmen pelanggan yang kita ingin ceburi dan sekaligus merangka strategi syarikat.
Secara amnya, kita boleh menyewakan lori kita kepada dua jenis pelanggan:
- Pelanggan individu (B2C)
- Pelanggan korporat (B2B)
Kedua-duanya mempunyai strategi, cara kerja dan keperluan yang berbeza. Mari kita kupaskan sama-sama:
Pelanggan individu (B2C)

Kebiasaannya pelanggan individu akan memerlukan lori apabila mereka hendak memindah rumah, bilik atau memerlukan pengangkutan untuk memindah/membeli perabot.
Untuk tugasan B2C, khidmat pekerja untuk mengangkat, memunggah, membalut dan membuka pasang selalunya diperlukan dan tuan-tuan perlu standby abang-abang sado.
Tuan-tuan boleh juga menggunakan khidmat pekerja asing tetapi pandai-pandailah adjust daripada segi permit ya!
Namun begitu, mengikut pengalaman kami, pelanggan Malaysia lebih suka rakyat sendiri untuk membuat tugasan ini.
Selain daripada pekerja abang sado, berikut merupakan alat-alat yang tuan-tuan perlu standby untuk membuat tugasan B2C:
- Drill
- Screwdriver
- Tali / lashing
- Kotak-kotak lama
- Masking tape
- Marker pen
- Pensil dan pen
- Stretch film atau shrink wrap
- Bubble wrap
- Troli
Ada pelanggan yang mahukan servis “partial mover”, di mana mereka akan kemas dan packing barang sendiri dan skop kerja tuan-tuan adalah untuk mengangkat dan memunggah barangan tersebut dari rumah lama ke rumah baru.
Servis pembalutan dan buka pasang adalah servis tambahan di mana mereka perlu bayar lebih.
Ada juga pelanggan yang mahukan servis “full mover” – di mana mereka tidak akan membuat apa-apa dan kita perlu buat kesemuanya!
Daripada packing, membalut, membuka pasang, mengangkat, memunggah dari rumah lama ke rumah baru. Siap dengan susun perabot dalam rumah mengikut kehendak pelanggan.
Servis “full mover” ini memerlukan perhatian yang tinggi kepada butiran-butiran kecil untuk memastikan pelanggan puas dengan kerja kita.
Upahnya juga lumayan dan boleh mencecah RM5,000.
Yang seronoknya tugasan pindah rumah ini kebiasaannya pembayaran adalah secara tunai. Ini membantu kita daripada segi modal pusingan.
10 tips mendapat tempahan untuk pindah rumah
Sekiranya tuan-tuan mendapat tempahan untuk pindah rumah, ada 10 tips yang kami dapat kongsikan:
- Gerak awal. Susun jadual pekerja-pekerja abang sado kita supaya mereka akan sampai ke pejabat/rumah kita tepat pada waktunya. Kalau mereka lambat, lambatlah kita sampai ke rumah pelanggan!(Tips tambahan: ramai rakan kongsi TheLorry mempunyai pekerja yang tinggal dekat dengan rumah boss. Sekiranya mereka bangun lambat, boss akan ketuk pintu/simbah air sampai mereka bangun).
- Semak GPS. Semak aplikasi maps seperti Google Maps atau Waze dan pastikan alamatnya betul dengan pelanggan sehari sebelum untuk memastikan tidak ada salah faham pada hari pemindahan.
- Hubungi pelanggan. Seeloknya, hubungi pelanggan 1 jam sebelum tuan-tuan sampai ke rumah mereka. Masa akan terbuang sekiranya mereka pun belum ready apabila kita sampai.
- Berhati-hati dan teliti. Ibaratkan barang pelanggan itu seperti barang sendiri. Pastikan apabila kita angkat barang-barang mereka, ianya tidak terlalu dekat dengan dinding-dinding dan bucu-bucu untuk elakkan daripada calar dan rosak.
- Cepat dan cekap: Kurangkan rehat berlebihan. Tugasan yang cepat siap = lebih banyak peluang lain.
- Ambil inisiatif: Jika nampak barang berdebu, lap sedikit. Pelanggan hargai usaha tambahan ini.
- Tanya jika tak pasti: Jangan diam jika tak faham arahan. Tanya pelanggan terus untuk elak isu kemudian.
- Terangkan kos awal-awal: Beritahu segala caj termasuk tambahan sebelum tugasan bermula.
- Senyum selalu: Senyuman mesra bantu bina kepercayaan. Kadang-kadang, dapat tip pun!
- Susun barang dengan bijak: Letak barang berat di belakang, barang ringan di atas. Sofa tegakkan, besi sisi lori.
BONUS: Muat turun 19 tips pindah rumah tanpa stress dalam format PDF
Pelanggan korporat (B2B)

Pelanggan korporat terdiri daripada syarikat-syarikat yang mahu:
- Menghantar barang-barang yang dijual kepada pengedar, peruncit dan pelanggan mereka
- Memindah pejabat
Untuk pemindahan pejabat, kebiasaannya kerjanya adalah “full mover” tetapi lebih rumit dan makan masa. Sekiranya pejabat itu mempunyai 100 meja banyak kerja yang perlu dibuat!
Tuan-tuan juga perlu teliti dengan skru, bolt, nut dan juga dokumen-dokumen penting pelanggan untuk pastikan tugasan itu berjalan lancar.
Beza pemindahan rumah dan pemindahan pejabat syarikat adalah selalunya syarikat akan akan bayar secara kredit (30-90 hari).
Upahnya juga setimpal atau lebih tinggi daripada “full service mover” untuk B2C.
Majoriti tugasan pengangkutan lori di Malaysia adalah tugasan penghantaran barang-barang yang dijual kepada pelanggan. Memandangkan mereka mempunyai kekerapan (volume), harga yang ditawarkan kepada syarikat pengangkutan lori boleh dikatakan rendah.
Namun begitu, memandangkan tugasan B2B tidak serumit tugasan B2C dan kekerapannya tinggi, tuan-tuan boleh buat banyak tugasan B2B dalam sehari. Tugasan B2B selalunya memakan masa maksima 3 jam.
Kami pernah lihat pengusaha lori membuat 3-4 trip dalam masa satu hari. Di sini tuan-tuan boleh untung.
Seperkara lagi, untuk tugasan B2B, selalunya akan ada Delivery Order (DO) yang tuan-tuan perlu minta penerima chop & sign. Sekiranya tak ada chop & sign tersebut, agak susah untuk tuan-tuan claim pembayaran daripada syarikat.
Sesetengah syarikat juga memerlukan tuan-tuan membeli insurans Goods in Transit (GIT) untuk memastikan barang-barang mereka selamat daripada kerosakan dan kehilangan. Tuan-tuan boleh rujuk di sini untuk bertanya tentang insurance GIT.
Syarikat yang manakah perlu kita target?
Syarikat yang manakah perlu kita target? Syarikat-syarikat di bawah memerlukan lori dengan kerap untuk menghantar barang:
- Syarikat dan kilang makanan kering
- Syarikat dan kilang minuman
- Syarikat dan kilang baju & kain
- Syarikat import dan eksport
- Dan lain-lain
Untuk mengetahui bagaimana kita boleh mendapat tugasan B2B, boleh rujuk artikel ke-2 kami “Mencari tugasan pertama” (akan datang)
Berikut merupakan perbezaan di antara tugasan pelanggan individu (B2C) dan pelanggan korporat (B2B) untuk rujukan mudah tuan-tuan:
Pelanggan Individu (B2C) | Pelanggan Korporat (B2B) | |
Tahap kerumitan | Rumit | Rumit (Pindah pejabat)Mudah (Barang komersil) |
Kekerapan | Banyak pada hari Sabtu.Hari bekerja tidak berapa. | Kadang-kadang (Pindah pejabat)Kerap (Barang komersil) |
Jenis lori yang diperlukan | 1, 3, 5 tan | 1, 3, 5 tan20, 40 kaki |
Pembayaran | Tunai | Kredit (30-90 hari) |
Skop kerja | Angkat, punggah, balut, buka dan pasang perabot | Angkat, punggah, balut, buka dan pasang perabot (Pindah pejabat)Angkat, balut, punggah (Barang komersil) |
Kami di TheLorry menyarankan tuan-tuan menyewakan lori kepada kedua-dua jenis pelanggan – B2C dan B2B. Tuan-tuan boleh lakukan tugasan B2B pada hari bekerja dan B2C pada hari minggu.
Strategi ini membolehkan tuan-tuan mendapatkan sedikit modal pusingan pada hari minggu sebelum menunggu pembayaran daripada syarikat untuk tugasan B2B.
Nantikan artikel ke-2 kami “Mencari tugasan pertama” (akan datang) tidak lama lagi di mana kita akan huraikan strategi-strategi marketing yang tuan-tuan boleh gunakan untuk mendapatkan tempahan.
Ikuti Facebook kami untuk mendapatkan berita terkini.
Soalan Lazim (FAQ)
Apa kelebihan menceburi bisnes pengangkutan lori?
Berapa modal perlu untuk beli lori pertama?
Bagaimana kekurangan pemandu memberi peluang kepada bisnes lori?
Siapa patut mulakan bisnes lori ini?
Di mana saya boleh belajar selok-belok bisnes lori?
Adakah lebih baik pajak atau beli lori?