Uncategorized

Panduan Lengkap Memulakan Bisnes Pengangkutan Lori (Bhg 4)

By 16/01/2017Disember 3rd, 2021No Comments
cover

Artikel ini adalah artikel keempat daripada lima bahagian yang TheLorry akan keluarkan untuk memberi panduan kepada tuan-tuan yang berminat untuk berkecimpung dalam bisnes pengangkutan lori.

Sila rujuk pautan di bawah untuk membaca artikel-artikel yang lain:

  1. Bahagian 1: Peluang dalam bidang pengangkutan lori dan langkah pertama
  2. Bahagian 2: Mencari tugasan pertama
  3. Bahagian 3: Tools dan alat-alat yang anda perlu ada untuk memulakan bisnes pengangkutan lori
  4. Bahagian 4: Tips untuk menguruskan operasi pengangkutan lori

Bahagian 4: Tips untuk menguruskan operasi pengangkutan lori

Menguruskan operasi dengan betul adalah perbezaan di antara syarikat pengangkutan lori sewa yang untung dan rugi.

Untuk artikel ini, kita akan kongsikan beberapa tips untuk memastikan bisnes kita berjalan dengan lebih mantap dan efisyen.

1. Pemandu

Sekiranya tuan-tuan tidak memandu sendiri, berikut adalah beberapa tips yang kami boleh kongsikan untuk menguruskan pemandu lori tuan-tuan dengan lebih baik.

a) Tegas & adil

Sebagai boss, tuan-tuan perlu tegas dengan pekerja-pekerja termasuk pemandu. Tegas dalam isu disiplin, jadual kerja serta hal ehwal kebajikan.

Sekiranya waktu bekerja adalah pukul 8 pagi, maka kita perlu tegas dengan 8 pagi.

Namun begitu, kami sarankan tuan-tuan tidak terlalu garang dengan pekerja kerana ini akan membuat mereka takut/tidak minat untuk bersuara.

Apabila mereka takut untuk bersuara, ini akan membantutkan komunikasi di antara pekerja dan majikan yang secara tidak langsung akan menghalang kemajuan bisnes kita.

Kita juga perlu berlaku adil dengan pemandu-pemandu.

Apabila mereka membuat salah, perlu ada tindakan. Apabila mereka membuat perkara yang bagus, perlu juga ada tindakan daripada segi kewangan atau kata-kata yang baik.

Inilah ciri-ciri boss yang baik!

b) Dengar rintihan dan komen mereka

Kami juga amat galakkan tuan-tuan belanja pekerja-pekerja makan sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Dalam masa yang sama, kita cuba dengar rintihan dan komen mereka tentang kerja sambil makan.

Komunikasi ini penting untuk memperbaiki operasi kita, kerana merekalah yang menjadi “frontline” atau barisan hadapan bisnes kita.

Mungkin mereka ada komen yang sesuatu tugasan itu terlalu berat untuk dilakukan seorang diri dan mereka mahu tuan-tuan upah kelindan untuk tugasan tersebut.

Mungkin juga mereka rasa overtime yang dibayar tidak mencukupi kerana mereka perlu balik kerja lewat malam.

Tuan-tuan mungkin tidak setuju dengan komen mereka.

Namun apa yang penting adalah kita sedia mendengar dan ambil kira komen-komen ini untuk perbaiki pada masa hadapan.

c) Bincang pasal benda lain selain kerja

Apabila berjumpa dengan pemandu-pemandu tuan-tuan di luar waktu kerja, cuba berbincang dengan mereka tentang perkara selain kerja.

Apa-apa sajalah, tentang agama, hiburan, bola, wayang dan lain-lain.

Barulah mereka seronok bekerja dengan kita!

d) Jangan cepat melenting

Dalam bisnes pengangkutan lori ini, 100% kita akan mengalami masalah.

Masalah tayar pecah, masalah pelanggan, masalah barang melebih muatan, masalah pembayaran dan lain-lain lagi.

Yang penting adalah apabila masalah berlaku dan kita diberitahu bahawa pemandu kita yang salah, kita jangan cepat melenting.

Ya, mungkin secara nalurinya kita akan menyalahkan pemandu kita kerana membuat sesuatu yang mengganggu periuk nasi kita.

Namun begitu, penting untuk kita kumpul kesemua maklumat terdahulu sebelum membuat tindakan.

Mungkin bukan salah pemandu kita.

Hubungi mereka dan tanya apa cerita yang sebenar. Dengan maklumat daripada kedua-dua pihak. Kemudian cuba selesaikan masalah tersebut dengan baik.

2. Kelindan

a) Tips mencari kelindan yang bagus

Antara ciri-ciri kelindan yang bagus adalah seperti berikut:

  • Menepati masa
  • Rajin bekerja
  • Tidak banyak merungut tentang tugasan yang diberi
  • Mempunyai tenaga yang tinggi
  • Bonus: abang sado
b) Mencari kelindan yang duduk berdekatan dengan pemandu

Untuk kelindan, kami cadangkan tuan-tuan mencari pekerja yang duduk berdekatan dengan pemandu atau behampiran dengan tempat lori kita parking.

Ini memudahkan operasi dan untuk mengurangkan risiko lori lambat tiba ke destinasi untuk tugasan.

Sebagai contoh, sekiranya kita mempunyai pemandu yang tinggal di Petaling Jaya – cari kelindan yang duduk di Petaling Jaya juga.

Kelindan tersebut dapat jimat duit daripada kos pengangkutan sekiranya jarak perjalanan ke kerja tidak jauh.

Ini akan meningkatkan minat mereka untuk bekerja dengan kita secara jangka panjang.

Akan menjadi masalah sekiranya pemandu kita duduk di Petaling Jaya, Kelindan di Ampang dan lori kita adalah di Seri Kembangan!

Padah!

3. Menyusun Jadual

Lori-lori kita perlu berjalan sekerap mungkin untuk memastikan kita dapat menjana keuntungan maksima.

Antara cara yang boleh tuan-tuan buat adalah untuk menyusun jadual dengan betul.

Untuk perkara ini, ada beberapa “mazhab” yang boleh digunapakai.

Kami sendiri berpegang kepada teknik “3 slot” untuk menyusun jadual.

Wah slot machine kah tuan penulis? Haram ni.

Bukan, bukan.

3 slot di sini bermaksud:

Slot 1: 9am – 12pm
Slot 2: 1pm – 4pm
Slot 3: 5pm – 8pm

Ini bermakna kita buat jangkaan yang setiap satu tugasan akan mengambil masa selewat-lewatnya 3 jam.

Jadual ini juga sudah memperuntukkan 2 jam rehat untuk pemandu dan kelindan dari 12-1pm dan 4-5pm.

Kita mungkin perlu bayar overtime (OT) kepada pekerja untuk melakukann tugasan slot 3, tetapi memang berbaloi sekiranya ketiga-tiga slot dapat diisi!

Nota: Jadual ini boleh digunapakai untuk lori 1 tan. Untuk tugasan 3 tan ke atas, mungkin tidak berapa efektif.

Jom buat sedikit kiraan:

Sekiranya satu tugasan kita menjana jualan sebanyak RM250.

RM250 x 3 slot = RM750

RM750 x 26 hari bekerja = RM19,500

Kami yakin dapat menampung kos pemandu, kelindan, maintenance, pajak lori dan lain-lain kos.

Sekiranya kita membuat andaian bahawa daripada 26 hari, hanya 10 hari ketiga-tiga slot akan penuh. 10 hari ada dua slot yang penuh manakala 6 hari dengan hanya satu slot yang penuh.

Kiraannya:

RM250 x 3 slot x 10 = RM7,500
RM250 x 2 slot x 10 = RM5,000
RM250 x 1 slot x 6 = RM1,500

Jumlah = RM14,000. Cantik tu!

Mengikut kiraan di atas, sebenarnya kita tidak perlu kesemua slot penuh untuk membuat untung bulanan. Hanya perlu 10 hari penuh, 10 hari separa penuh dan 6 hari tidak penuh.

Teori di atas nampak mudah, tetapi secara praktikalnya agak susah.

Ini kerana pelanggan perlu ikut jadual kita sekiranya slot kita sudah penuh. Dan mungkin mereka tidak berapa minat dengan slot-slot lain.

Bagaimana untuk selesaikan masalah ini?

Cari lebih banyak tugasan! Tuan-tuan boleh cuba teknik-teknik yang kita hurai pada artikel lepas. Klik di sini untuk baca: Bahagian 2: Mencari tugasan pertama

Solusi lain adalah dengan menggunakan platform TheLorry.

Memandangkan tiada paksaan untuk tuan-tuan ambil tugasan yang dipaparkan, sekiranya ada tugasan yang keluar di dalam aplikasi telefon dan slot tuan-tuan masih kosong, boleh terus “Accept” job tersebut.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!

4. Teknik kenal jalan

Waktu dahulu, sekiranya pemandu perlu merujuk kepada peta untuk menjalankan tugasan mereka mengambil dan menghantar barang – terutamanya ke luar kawasan.

Kini – tidak perlu lagi kerana ada bantuan daripada Waze dan juga Google Maps.

Namun begitu, kita tidak boleh terlalu percaya dengan jalan yang diberi oleh Waze dan Google Maps.

Ada kalanya alamat yang kita isikan, lain daripada alamat yang Waze dan Google Maps bawa kita!

Seeloknya kita periksa dahulu “route” atau laluan yang Waze dan Google Maps hendak bawa kita.

Sekiranya rasa tidak betul, cuba isi alamat yang lain.

Kemahiran ini hanya akan datang apabila kita mempunyai pengalaman. Apabila sudah biasa, tidak menjadi masalah untuk tahu jalan-jalan shortcut dan sebagainya!

5. Kerosakan dan “breakdown”

Lori “breakdown” atau rosak adalah asam ragam menjalankan bisnes pengangkutan lori.

a) Antara tips yang boleh kita kongsi untuk memastikan keadaan dan condition lori sentiasa baik:
  • Pastikan tuan-tuan periksa air radiator dan juga minyak pelincir setiap pagi
  • Periksa tekanan tayar stabil (terlalu tinggi atau rendah akan merosakkan tayar)
  • Servis berkala mesti dibuat pada masa yang ditetapkan
  • Hanya guna alat-alat ganti yang original untuk memastikan lori tahan lama
  • Penambahan wayar berlebihan dan tanpa kelulusan boleh menyebabkan kebakaran
b) Servis dan kos-kosnya

Pastikan tuan-tuan membuat servis berkala setiap 5,000 ke 7,000km. Ini akan menelan belanja dalam lingkungan RM150 setiap kali.

Minyak gear box juga perlu ditukar setiap 20,000km – ini pula harganya dalam lingkungan RM80 setiap kali servis.

Secara am, lori yang baru boleh jalan 3 hingga 5 tahun tanpa sebarang masalah.

c) Tips sekiranya lori rosak di tepi jalan
  • Pasang isyarat double signal
  • Pastikan tuan-tuan pasang segi tiga
  • Hubungi polis bantuan lebuhraya untuk pertolongan
  • Tunggu pertolongan tiba
  • Sekiranya tidak tahu sebab kenapa lori rosak, hantar ke bengkel yang dipercayai
  • Jangan sesekali hantar ke bengkel yang tidak dipercayai, kos boleh naik sehingga 200%!

Ada apa-apa lagi tips yang tuan-tuan boleh kongsikan? Komen di bawah!

Sharing is caring