Info

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Akaun 3 KWSP

By 10/05/2024Mei 26th, 2024No Comments


KWSP telah mengumumkan pelaksanaan Inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP yang akan berkuat kuasa pada 11 Mei 2024. Tujuan utama inisiatif ini adalah untuk meningkatkan keselamatan pendapatan semasa persaraan sambil memenuhi keperluan kitaran hidup ahli.

Akaun KWSP 3 telah menjadi topik yang mendapat perhatian di kalangan pekerja Malaysia. Apakah fungsinya? Jom kita kenali apa itu akaun 3 KWSP

Mengenal Apa itu Akaun KWSP 3?

Akaun KWSP 3 adalah salah satu program pelaburan yang ditawarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia. Skim ini membolehkan pekerja untuk menyimpan sebahagian daripada simpanan KWSP iaitu sebanyak 10% daripada jumlah simpanan ahli. Akaun ini bertujuan untuk memenuhi keperluan kewangan jangka pendek ahli. Simpanan dalam Akaun Fleksibel boleh dikeluarkan oleh ahli pada bila-bila masa tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh KWSP. Walaubagaimanapun, KWSP menggalakkan agar pengeluaran hanya digunakan dalam keadaan kecemasan dan untuk keperluan mendesak sahaja.

Penstrukturan Semula Akaun KWSP Yang Baru

Penstrukturan semula akaun KWSP telah dilaksanakan bertujuan untuk memperkukuh jaminan pendapatan persaraan dan memenuhi keperluan kitaran hayat ahli.


Dijenamakan Semula

Akaun Persaraan 75% – Menjamin sumber pendapatan selepas bersara

Akaun Sejahtera 15% – Memenuhi keperluan kehidupan dan nikmati kualiti pra-persaraan yang selesa

Akaun Baharu

Akaun Fleksibel 10% – Menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek dan kecemasan


Caruman baharu yang diterima selepas tarikh kuat kuasa akan dikreditkan ke dalam akaun mengikut nisbah 75:15:10 iaitu Akaun 1 Persaraan (75%)Akaun 2 Sejahtera (15%) dan Akaun 3 Fleksibel (10%).

Tujuan Penstrukturan Semula Akaun KWSP

Tujuan Penstrukturan Semula Akaun KWSP ini adalah untuk:

  • Meningkatkan jumlah simpanan bagi memastikan pendapatan persaraan yang mencukupi dan bermakna bagi ahli;
  • Menyelaraskan keperluan jangka pendek, sederhana, dan panjang dengan kehidupan serta jangka hayat ahli;
  • Membangunkan Skim KWSP yang relevan dengan perubahan landskap pekerjaan, demografi, dan keperluan ahli pada masa kini dan masa depan; dan
  • Memenuhi keperluan kewangan jangka pendek yang boleh mempengaruhi kesejahteraan semasa persaraan sekiranya tidak dipenuhi.

Ahli berhak untuk mengeluarkan dana dari Akaun Fleksibel pada bila-bila masa, dengan syarat jumlah minimum pengeluaran adalah RM50. Permohonan pengeluaran dari Akaun Fleksibel boleh dilakukan secara dalam talian melalui platform KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara. Bagi ahli yang belum mendaftar untuk KWSP i-Akaun, adalah disarankan agar mendaftar bagi memudahkan proses pengeluaran dana dari Akaun Fleksibel.

Syarat-syarat Pengeluaran Daripada Akaun Fleksibel

Syarat-syarat untuk pengeluaran daripada Akaun Fleksibel ialah:

  • Kelayakan melibatkan semua ahli KWSP, termasuk warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia.
  • Umur ahli mestilah di bawah 55 tahun.
  • Ahli mesti memiliki simpanan dalam Akaun Fleksibel.
  • Terdapat had minimum amaun pengeluaran yang telah ditetapkan, iaitu RM50.

Akaun 55 dan Akaun Emas

Penstrukturan semula akaun KWSP terpakai kepada semua Ahli KWSP termasuk bukan warganegara Malaysia yang belum mencapai umur 55 tahun pada 11 Mei 2024.

Sebagai langkah rutin, semua simpanan dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera, dan Akaun Fleksibel bagi ahli yang telah mencapai usia 55 tahun akan digabungkan ke dalam Akaun 55. Sumbangan baru yang diterima dari ahli yang berusia 55 tahun dan ke atas akan dimasukkan ke dalam Akaun Emas.Akses penuh kepada sistem akan dibuka pada 12 Mei 2024 bagi semua ahli.

Maklumat Lanjut

Ketahui lagi tentang Akaun 3 ini sila rujuk atau hubungi di laman web KWSP yang sahih di:

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP, ahli boleh mengunjungi mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara atau merujuk kepada laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau melalui KWSP i-Akaun.

Sharing is caring